Tuesday, September 16, 2014

Hakikat Bahagia

Selama-lamanya perkahwinan itu tidak akan pernah merasai pengertian bahagia yg sebenar-benarnya jika takrif bahagia itu diukur berdasarkan banyaknya harta dan hebatnya kerjaya pasangan semata-mata.

Perkahwinan yg bahagia dan berkah itu bergantung kepada keutuhan dari niat si suami yg bersungguh-sungguh dan ikhlas menyara keluarga melalui jalan yg halal serta niat si isteri yg ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam berbakti pd suami dan anak-anak.

Selagi niat yg ikhlas dan usaha yg bersungguh-sungguh masih ada dalam sesebuah keluarga, maka bahagianya perkahwinan itu akan sentiasa mekar seindahnya dan rezeki yg mencurah-curah akan hadir dengan secukupnya.

Lumrah manusia melihat dari perspektif duniawi hingga lupa hakikat sebenar hidup sebagai hamba Ilahi. Segala yg berlaku bila berlawanan dgn kehendak hati, terus kita merungut dan mengeluarkan kata-kata yg negatif. Kita lupa hakikatnya segalanya itu dari Allah. Setiap insan mengharapkan sebuah perjalanan hidup yg sempurna. Namun kita perlu sedar bahawa hidup itu hakikatnya hanyalah ujian semata-semata.

Seumpama kita pergi ke dewan peperiksaan. Kita mesti harap keputusan markah penuh dan cemerlang dalam peperiksaan. Tika melalui getir dan susahnya peperiksaan hari itu, baru kita sedar bahawa segalanya tidak semudah dan seindah yg kita harapkan. Kita mampu membina harapan setinggi gunung, namun realiti hidup itu tetap ada sifirnya. Ada kalanya susah dan ada kalanya senang.

Bahagia itu tidak bergantung pada susah dan senangnya kehidupan. Rahsia bahagia itu bergantung pada perspektif dan kefahaman kita tentang erti kehidupan yg sebenarnya.

Nikmat hadir, kita bersyukur. Musibah menjelma, kita redha. Biarlah bicara dan perbuatan kita seiring dgn niat di hati.

Nescaya bahagia itu akan hadir tika mana seluruh kehidupanmu diniatkan hanya kerana Allah.

InsyaAllah.
 

No comments:

Post a Comment